assalamualaikum

Never Forget

Wednesday, June 16, 2010

REJAB BULAN ALLAH

Rejab digelar bulan Allah. Dikatakan begitu kerana ia adalah satu bulan yang mulia di mana Allah telah bermurah hati mengampunkan dosa-dosa hamba-hambaNya, mengangkatkan darjat mereka serta melipatgandakan pahala mereka yang melakukan amal ibadat dalam bulan ini. Sekiranya dalam bulan-bulan biasa, satu kebajikan dibalas dengan 10, tetapi dalam bulan Rejab setiap kebajikan dibalas dengan 70. Dalam bulan ini juga Allah telah menjalankan Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjid Aqsa dan dari sana pula dibawa ke Sidratul Muntaha, untuk menerima kewajiban solat 5 waktu sehari semalam.

Setiap kali kedatangan bulan Rejab, seorang abidah (waniita yang kuat beribadat) mewiridkan bacaan 'Qulhuwallahu Ahad' sebanyak 11 kali selepas solat Subuh. Ini dilakukannya setiap hari sepanjang Rejab pada tiap-tiap tahun. Usaha ini dilakukannya sebagai tanda memuliakan Bulan Rejab. Selain itu, wanita ini akan memakai pakaian yang kasar menggantikan pakaian biasa yang dipakainya pada bulan-bulan lain.

Suatu hari, dia jatuh sakit. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, wanita itu sempat berwasiat kepada anak-anaknya jika dia mati kafankannya dengan kain kasar yang dipakainya. Dalam keadaan yang tenang, wanita itu menghembuskan nafasnya yang akhir. Semasa mengkafankan jenazah ibunya, anak-anaknya terasa aib untuk menggunakan kain kapan yang sudah uzur dan lusuh, lalu menggantikannya dengan kain kafan yang baru.

Pada malam itu, anaknya bermimpi berjumpa ibunya. Ibunya bertanya mengapa mereka tidak mematuhi wasiatnya. Perbuatan mengkafannya dengan kain baik menyebabkan ibunya tidak meredhai mereka. Sebaik saja anaknya terjaga, dia berasa amat sedih dan menyesal atas perbuatannya. Dia segera ke kubur pada malam itu juga lalu menggali kubur ibunya untuk menggantikan dengan kain kafan yang lusuh. Alangkah terperanjatnya apabila mendapati mayat ibunya tidak ada di situ.

Anaknya berasa amat hairan. Tiba-tiba kedengaran satu suara 'Hai anak! Tidakkah kau tahu bahawa orang yang memuliakan bulan Rejab tidak akan bersendirian di dalam kubur.' Mendengar suara itu, anaknya segera faham. Dia pun menimbus semula kubur yang digalinya lalu beredar dari situ. Wallahu 'Alam.

Moral & Iktibar

1. Sesiapa yang memuliakan bulan Rejab akan dimuliakan Allah.
2. Allah lebih suka melihat hambaNya yang beramal sedikit tetapi berkekalan
daripada mereka yang beramal banyak tetapi tidak kekal.
3. Kita hendaklah mencari keredhaan ibu kerana keredhaan Allah bergantung pada
keredhaannya.
4. Syurga di bawah tapak kaki ibu. Dalam kata-kata lain salah satu syarat untuk
memasuki syurga ialah mentaati kedua ibu bapa.
5. Anak yang taat akan segera meminta keampunan daripada ibubapa jika dia melakukan
kesalahan.
6. Orang yang memuliakan bulan Rejab akan dimasukkan ke dalam syurga.
7. Liang lahad (tanah perkuburan) menjadi pintu syurga bagi mereka yang beramal
soleh. Sebaliknya akan bertukar menjadi pintu neraka bagi mereka yang kufur
dengan Allah.
8. Liang lahad menjadi amat luas dipenuhi dengan taman syurga untuk mereka yang
taat kepada Allah dan RasulNya.
9. Liang lahad juga menjadi amat sempit dengan dipenuhi dengan ular dan kala
jengking yang sentiasa menyeksa mayat yang kufur dan sentiasa membuat maksiat di
dunia ini.
10. Kejadian ini berlaku adalah kerana Allah hendak membukakan rahsia balasan Allah
kepada orang yang memuliakan bulan Rejab.
11. Setiap sesuatu yang berlaku di dunia ini tidak berlaku secara sia-sia. Bahkan
ada sesuatu yang tersirat di sebaliknya. Inilah yang perlu kita fikirkan untuk
diambil iktibar.
12. Amal ibadat semasa hidup menjadi teman sejati semasa di kubur. Harta kekayaan
yang dikumpul semasa di dunia belum tentu menjamin kebahagiaan di akhirat

Tuesday, June 15, 2010

13 wasiat Rasulullah kepada Ali

Rasulullah SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali bin Abu Talib.

Sesungguhnya wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai muslim dan muslimat, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.

Larangan dan suruhan Rasulullah SAW melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang beriman.

Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal’un).
2. Wahai Ali, janganlah engkau memakai cincin di jari tengah. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.
3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar: “Rabbighfirli fainnahu la yaghfiruz-dzunuba illa Anta” ( Tuhanku, ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: “ Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia”.
4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai ‘kazzab’ (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai ‘sidiq’ (orang berkata benar). Ketahuilah engkau, bahawasanya sidiq itu berkat dan kizb itu celaka.
5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi panghalang kepadanya di pintu syurga.
6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.
7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.
8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dab berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.
9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredhai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.
10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.
11. Wahai Ali, perhitungkankanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.
12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau, maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.
13. Wahai Ali, perbaikkalah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.


Wahai Ali peliharalah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan. Insya-Allah.

Islam pada awalnya asing dan akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing.

World Clock