assalamualaikum

Never Forget

Saturday, January 29, 2011

Menahan Marah



Diriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. katanya, "Berilah wasiat kepadaku." Sabda s.a.w ,'“Janganlah engkau marah.” Lelaki itu mengulangi (permintaannya) beberapa kali. Rasulullah s.a.w. tetap bersabda, "Janganlah engkau marah." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Larangan jangan marah

Marah adalah sifat semula jadi yang ada pada semua orang, antara mereka ada yang cepat marah dan ada yang lemah lembut. Marah bukanlah suatu sifat yang boleh dibuat serta merta, malah ia biasanya didahului sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu marah, perasaannya memberontak dan akan bertindak kasar. Seseorang yang sedang marah akan hilang kewarasan fikirannya. Pertimbangannya sudah hilang, lidahnya asyik memaki hamun dan mengejek-ejek. Kadang-kadang perasaan marah berlanjutan sehingga menimbulkan permusuhan antara keluarga dan sahabat handai, dan lebih aneh lagi ada orang boleh berkelahi dengan benda-benda yang tidak berakal.

Perasaan marah dapat diatasi dengan mengikuti beberapa panduan yang ditunjukkan oleh Islam, iaitu:

1. Hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutamanya contoh yang terdapat dalam Sunnahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah S.W.T: "…Dan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali Imran3-134)

2. Memohon kepada Allah supaya menjauhkannya daripada syaitan yang dilaknat. Panduan ini dinyatakan didalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T.: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui." (al-A'raf 7:200)

3. Meninggalkan tempat yang menyebabkan seseorang itu marah. Sabda Baginda: "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Abu Daud)

4. Mengambil wuduk, sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk." (Abu Daud)

Oleh kerana besarnya bahaya marah, Nabi s.a.w. melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani. "Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Al-Tirmizi)

Friday, January 21, 2011

Imam Syatibi

Nama sebenar beliau adalah al-Qasim bin Firruh bin Ahmad bin Khalaf bin Abu Qasim Muhammad al-Syatibiy al-Ru’ainiy al-Andalusiy al-Dhorir dan beliau bermazhab Syafi’ei. Dilahirkan dalam keadaan buta pada akhir tahun 538 hijrah di Andalus (Sepanyol) disebuah perkampungan yang bernama Syatibah (sekarang dalam daerah Barcelona). Di Syatibah beliau mempelajari al-Qur’an dan Qiraat daripada gurunya Abi Abdullah Muhammad bin Abi al-‘As al-Nafari. Kemudian beliau merantau ke Balansiah iaitu satu perkampungan yang berhampiran dengan Syatibah dan berguru dengan Ibn Huzail. Beliau mempelajari ilmu Qiraat dan telah menghafal kitab al-Taisir karangan Imam Abu ‘Amru al-Dani dan juga mempelajari ilmu hadith. Beliau juga telah mempelajari ilmu Qiraat dari Syeikh Abi Tohir al-Salafi di Iskandariah, Mesir. Apabila beliau beliau sampai ke Mesir, beliau telah diberi penghormatan yang tinggi oleh ulama’-ulama’ di Mesir dan sekali gus dilantik sebagai ketua lujnah al-Qur’an oleh raja Mesir pada ketika itu. Imam Abu Syaamah al-Dimasyqiy mencipta sepotong syair yang menggambarkan betapa tingginya penghormatan ulama’-ulama’ Mesir terhadap Imam Syatibiy yang berbunyi:

رأيت جماعة فضلاء فازوا * برؤية شيخ مصر الشاطبي وكلهم يعظمه ويثنى * كتعظيم الصحابة للنبي[1]
Bermaksud: Aku melihat sekumpulan ulama’ yang bergembira dengan munculnya Imam al-Syatibiy, Dan kesemuanya membesar dan memuji beliau seakan-akan para sahabat memuji nabi. Masyarakat Mesir pada ketika itu berlumba-lumba untuk mempelajari al-Qur’an daripadanya. Kebiasaanya beliau memulakan pengajaran selepas solat subuh dan sentiasa mendahulukan murid-muridnya yang datang awal dengan berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu” .

Pernah berlaku, seorang anak muridnya yang selalu datang awal tidak dibenarkan membaca dahulu tanpa diberitahu sebabnya dan disuruh pula murid yang datang selepasnya membaca dahulu. Berfikirlah anak murid yang selalu datang awal itu seketika tentang perkara tersebut lalu tiba-tiba beliau menyedari bahawa beliau masih dalam keadaan junub. Lalu bergegaslah beliau untuk membersihkan diri (mengangkat hadas besar) dan sekembalinya beliau ke tempat pengajian, didapati murid yang kedua tadi masih belum selesai membaca dan ketika itu jugalah Imam al-Syatibiy serta-merta memberhentikan murid keduanya dan terus berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu”

Di antara kehebatan beliau ialah dapat mendengar azan yang menunjukkan masuk waktu solat tanpa diazankan. Beliau tidak bercakap kecuali apa yang dirasakan perlu dan hanya hadir mendengar bacaan murid-muridnya dalam keadaan berwuduk. Apabila ditanya tentang hal keadaannya beliau akan hanya menjawab dengan katanya: “sihat” walaupun pernah menderita kesakitan tetapi tidak pernah menzahirkannya. Beliau juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang tinggi selain daripada ingatan yang kuat dan akal yang tajam. Tidak memandang dunia dan takut pada hukum Allah. Walaupun beliau bukan bangsa arab, tetapi pengetahuannya dalam bidang ilmu-ilmu Islam serta bahasa arab cukup dalam dan luas. Beliau juga tidak segan silu berpolitik dalam memastikan hukum Allah tertegak di muka bumi ini.



Hirzu al-Amaani wa Wajhu al-Tahaani adalah antara kitab yang dikarangnya yang memuatkan pelbagai nasihat dan saranan kepada pencinta ilmu qiraat didalam bab muqaddimah antaranya,

وهذا زمان الصبر من لك بالتي * كقبض على جمر فتنجوا من البلا[2]

Maksudnya: Zaman ini zaman yang penuh kesabaran dan sesiapa yang berpegang kepadsa Islam yang sebenar diibaratkan seperti berpegang pada bara api dan mereka ini akan selamat daripada malapetaka. Berkenaan dengan kitab ini, Al-Tobari meriwayatkan, Imam al-Syatibiy pernah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan Baginda membaca kitab tersebut lalu bersabda “Kitab ini mempunyai keberkatan, barang siapa yang menghafalnya akan dimasukkan ke syurga”.

Beliau meninggal dunia setelah berusia 52 tahun pada hari ahad selepas asar, 28 Jamadil Akhir tahun 590 Hijrah dan dikebumikan pada hari Isnin di atas Jabal Muqattam, Mesir. Begitulah secara ringkasnya sejarah kehidupan Imam al-Syatibiy yang masih ramai tidak mengetahuinya lagi termasuklah pelajar-pelajar dalam bidang qiraat. Imam al-Syatibiy membawa contoh model pendukung ilmu qiraat yang sebenar.

Dalam keadaan beliau yang buta, bukan sahaja hebat dalam bidangnya tetapi sentiasa tegas dalam perkara yang melibatkan hukum Allah. Semoga semua pencinta ilmu qiraat dapat mempersembahkan ilmu ini sepertimana yang dipersembahkan oleh Imam al-Syatibiy bagi mengikis tanggapan bahawa orang qiraat ini hanya tahu membaca al-Qur’an sahaja dan lesu, senyap dan bisu dalam menegakkan kalimah Allah bila balik ke Malaysia nanti . Semoga kekentalan dan semangat tinggi Imam yang pernah bekerja-sama dengan Salahuddin al-Ayubbi ini dapat kita selami dan seterusnya menjadikan ilmu ini sebagai salah satu alternatif dalam mengembalikan masyarakat ke jalan yang benar.

World Clock