assalamualaikum

Never Forget

Tuesday, May 31, 2011

Menghayati keistimewaan bulan Rejab



Dengan izin Allah SWT, kita sudahpun berada di bulan Rejab dalam tahun Hijrah 1432 ini. Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.
Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.
Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.
Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.
Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.
Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).
Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)
Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.
Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.
Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).
Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.
Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.
Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.
Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.
Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah.
Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: “Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan”.
Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.
Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.
Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.
Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.
Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.
Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)
Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.


Petikan Daripada http://pondokhabib.wordpress.com

Friday, May 13, 2011

Guru Pelita Hidup



Petikan ini diambil dari Radio Malaysia IKIM.FM

Guru atau pendidik disanjung dan dimuliakan kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda :

Terjemahan :

"Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."

(Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi)

Kelebihan yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. ini ternyata disebabkan manfaat ilmu yang disampaikan oleh orang yang berilmu dan dalam konteks perbincangan kita, golongan guru khususnya. Melalui sebuah Hadith yang lain pula, Baginda menjelaskan :

Terjemahan :

"Sesungguhnya malaikat mengembangkan sayapnya ke atas orang yang mempelajari ilmu sebagai tanda reda terhadap apa yang diusahakannya dan bagi orang yang berilmu pula, setiap makhluk yang berada di langit dan juga makhluk yang berada di bumi termasuklah juga ikan di dasar laut, memohon keampunan untuknya. Kelebihan orang yang berilmu ke atas `abid samalah seperti kelebihan bulan pada malam ia mengambang penuh ke atas seluruh bintang. Sesengguhnya ulama' merupakan pewaris para Nabi dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham bahkan mereka mewariskan ilmu dan sesiapa yang berusaha mendapatkannya, maka ia memperoleh bahagian yang amat besar."

(Imam Ahmad dalam Musnadnya dan Ibn Hayyan dalam Sahihnya)

Kelebihan yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. ini ternyata disebabakan oleh manfaat ilmu yang disampaikan oleh orang yang berilmu dan dalam konteks ini, golongan guru khususnya. Kelebihan guru dan pendidik sering kali dibicarakan sehingga pujangga turut mengibaratkan guru seperti bintang di langit yang menerangi kegelapan di laut dan juga di darat. Justeru itu, seseorang pengembara dikatakan akan tersesat jalan apabila bintang-bintang di dada langit menghilang. Demikianlah juga ibaratnya kehidupan manusia tanpa bimbingan guru yang akan kehilangan arah panduan lalu akhirnya tersesat jalan. Secara ringkas, dapatlah dinyatakan bahawa antara sebab kita diwajibkan memuliakan guru adalah kerana :

1. Guru merupakan insan yang mulia dan tinggi kedudukannya. `Abdullah ibn `Umar meriwayatkan, "Dalam suatu peristiwa, Rasulullah s.a.w. terlihat dua buah kumpulan sahabat sedang berada di masjid. Baginda terus bersabda :

Terjemahan :

"Kedua-duanya merupakan kumpulan yang baik tetapi satu kumpulan adalah lebih baik daripada kumpulan yang satu lagi. Kumpulan pertama berdoa memohon rahmat Allah maka terserahlah kepada Allah sama ada untuk memakbulkan doa mereka atau tidak. Akan tetapi golongan kedua terlibat dengan usaha mencari ilmu serta menyampaikannya kepada golongan yang tidak mengetahui(nya). Malah, aku sendiri dipertanggungjawabkan dengan tugas mengajar."

Setelah berkata demikian, Rasulullah s.a.w. menghampiri majlis yang kedua iaitu majlis ilmu lalu duduk bersama-sama ahli kumpulan tersebut.

2. Guru memiliki kebijaksanaan. Sebagaimana yang kita maklumi, manusia dapat mengendalikan hidupnya dengan sempurna berdasarkan keimanan dan kebijaksanaan. Begitulah juga dengan guru. Dengan kebijaksanaan yang dimiliki, guru berupaya untuk membentuk dan mengembangkan daya keilmuan serta kebijaksanaan dalam diri murid-muridnya. Ini sudah tentu dapat melahirkan generasi yang cemerlang akhlak dan peribadinya.

3. Guru menyumbangkan bakti yang sangat besar. Jasa guru sememangnya terlalu besar sehingga tidak terungkap oleh kata-kata. Bayangkanlah betapa besarnya jasa guru membimbing hidup manusia seluruhnya dengan ilmu yang diajarkan. Hidup tanpa ilmu samalah seperti hidup dalam kegelapan. Ibarat nur, ilmu menerangi hidup manusia dan umpama lilin, guru membakar diri, menerangi kegelapan. Sejarah membuktikan bahawa manusia berjaya mencapai kegemilangan melalui ilmu dan kebijaksanaan. Demikianlah seterusnya dengan teknologi baru dunia hari ini yang dicipta berdasarkan kedua-dua elemen tersebut di samping kemahiran yang dimiliki. Rasulullah s.a.w. bersabda :

Terjemahan :

"Tuntutlah ilmu. Ia membolehkan pemiliknya membezakan antara kebenaran dengan kepalsuan, ia menerangi jalan ke syurga, ia merupakan teman semasa kesunyian, ia membimbing kita ke arah kegembiraan; ia mempertahankan kita semasa kesusahan; ia merupakan senjata terhadap musuh dan perhiasan di kalangan sahabat. Melaluinya, Allah mengangkat bangsa-bangsa dan menjadikan mereka pemimpin dalam usaha yang bermanfaat dan memberikan mereka kepimpinan sehingga jejak langkah mereka dituruti, perbuatan mereka dicontohi dan pendapat mereka diterima serta dihormati."

Peranan dan kepentingan ilmu tidak sahaja melibatkan hal-hal keduniaan sahaja bahkan juga akhirat. Kedudukan dan keadaan hidup kita di akhirat juga bergantung pada ilmu yang kita miliki. Dalam hubungan ini, Rasulullah s.a.w. bersabda :

Terjemahan :

"Sesiapa yang mahukan dunia, ia wajib memiliki ilmu. Sesiapa yang mahukan akhirat, ia wajib memiliki ilmu. Dan sesiapa yang mahukan kedua-duanya, ia wajib memiliki ilmu."

Saudara pendengar yang dimuliakan, kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s. dirakamkan oleh al-Qur'an dalam Surah al-Kahfi ayat 66-82. Menurut Ibn `Abbas, Ubay bin Ka'ab menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Sesungguhnya pada suatu hari, Nabi Musa berdiri di khalayak Bani Israil lalu baginda ditanya, "Siapakah orang yang paling berilmu?" Jawab Nabi Musa, "Aku." Lalu Allah s.w.t. menegur Nabi Musa a.s. dengan firman-Nya, "Sesungguhnya di sisi-Ku ada seorang hamba yang berada di pertemuan dua buah lautan dan dia lebih berilmu daripada kamu".

Lantas Nabi Musa pun bertanya, "Wahai Tuhanku, bagaimanakah dapat aku menemuinya?" Allah pun berfirman, "Bawalah bersama-sama kamu seekor ikan di dalam sangkar dan sekiranya ikan tersebut hilang, di situlah kamu akan bertemu dengan hamba-Ku itu." Sesungguhnya teguran daripada Allah itu mencetuskan keinginan yang kuat dalam diri Nabi Musa a.s. untuk menemui hamba yang salih itu. Di samping itu, baginda juga terlalu ingin mempelajari ilmu daripadanya. Nabi Musa kemudiannya menunaikan perintah Allah itu dengan membawa ikan di dalam sangkar dan berangkat bersama-sama pembantunya yang juga dikatakan anak murid dan pembantunya, Yusha' bin Nun ibn Ifra'im ibn Yusuf a.s. Mereka berdua akhirnya sampai di sebuah batu lalu kemudiannya berhenti untuk berehat setelah berjalan berbatu-batu jauhnya. Ikan yang berada di dalam sangkar itu pula meronta-ronta dan seterusnya terjatuh ke dalam air. Allah s.w.t. membuatkan aliran air untuk memudahkannya sampai ke laut. Yusya` terpegun memerhatikan kebesaran Allah menghidupkan semula ikan yang telah mati itu. Itulah juga mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s.

Selepas menyaksikan peristiwa yang sungguh menakjubkan dan luar biasa itu, beliau tertidur dan apabila terjaga, beliau terlupa untuk menceritakannya kepada Nabi Musa a.s. Mereka kemudiannya meneruskan lagi perjalanan siang dan malamnya dan pada keesokan paginya, Nabi Musa berkata kepada Yusya` "Bawalah ke mari makanan kita, sesungguhnya kita telah berasa letih kerana perjalanan kita ini." (Surah al-Kahfi : 62)

Ibn `Abbas berkata, "Nabi Musa sebenarnya tidak berasa letih sehinggalah baginda melewati tempat yang diperintahkan oleh Allah supaya menemui hamba-Nya yang lebih berilmu itu." Yusya' berkata kepada Nabi Musa, "Tahukah kamu bahawa ketika kita mencari tempat berlindung di batu tadi, sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidaklah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut itu dengan cara yang amat aneh." (ayat 63) Nabi Musa segera teringatkan sesuatu. Ya, mereka sudah pun tiba sebelumnya di tempat yang akan menemukan baginda dengan hamba yang salih yang dicari-cari itu. Kini, kedua-dua mereka berpatah balik untuk kembali ke tempat tersebut iaitu di batu yang menjadi tempat persinggahan mereka, tempat bertemunya dua buah lautan. Musa berkata, "Itulah tempat yang kita cari."

Lalu kedua-duanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. (Al-Kahfi : 64) Terdapat banyak pendapat tentang tempat sebenar pertemuan Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s. Ada yang mengatakan bahawa tempat tersebut ialah tempat pertemuan Laut Rom dan Parsi iaitu tempat bertemunya Laut Merah dengan Lautan Hindi. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa ia terletak di tempat pertemuan antara Laut Rom dengan Lautan Atlantik. Di samping itu, ada juga yang mengatakan bahawa ia terletak di sebuah tempat yang bernama Ras Muhammad iaitu antara Teluk Suwais dengan Teluk `Aqabah di Laut Merah.

Setibanya mereka di situ, mereka terlihat seorang hamba Allah yang berjubah putih bersih. Nabi Musa pun mengucapkan salam kepadanya. Nabi Khidir menjawab salamnya dan bertanya, "Dari mana datangnya kesejahteraan di bumi yang tidak mempunyai kesejahteraan? Siapakah kamu" Jawab Nabi Musa, "Aku ialah Musa." Nabi Khidir bertanya lagi, "Musa daripada Bani Isra'il?" Nabi Musa menjawab, "Ya. Aku datang menemui tuan supaya tuan dapat mengajarkan sebahagian ilmu dan kebijaksanaan yang telah diajarkan kepada tuan."

Nabi Khidir menegaskan, "Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup bersabar bersama-samaku." (ayat 67) "Wahai Musa, sesungguhnya ilmu yang kumiliki ini ialah sebahagian daripada ilmu kurniaan Allah yang diajarkan kepadaku tetapi tidak diajarkan kepadamu wahai Musa. Kamu juga memiliki ilmu yang diajarkan kepadamu yang tidak kuketahuinya." Nabi Musa seterusnya berkata, "Insya Allah tuan akan mendapati diriku sebagai seorang yang sabar dan aku tidak akan menentang tuan dalam sesuatu urusan pun." (ayat 69) Nabi Khidir selanjutnya mengingatkan, "Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu pun sehingga aku sendiri menerangkannya kepadamu." (ayat 70)

Suatu perkara yang dapat kita lihat dalam pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. ialah bagaimana tawaduk dan rendah hatinya Nabi Musa a.s. sebagai seorang 'murid' yang mahu mempelajari sesuatu ilmu daripada gurunya. Tutur katanya penuh adab dan tingkah lakunya penuh sopan; syarat yang amat penting bagi sesiapa sahaja yang mahu menuntut ilmu.

Demikianlah seterusnya Nabi Musa a.s. mengikuti Nabi Khidir dan berlakulah pelbagai peristiwa yang menguji diri Nabi Musa a.s. yang telah berjanji bahawa baginda tidak akan bertanya sebab sesuatu tindakan diambil oleh Nabi Khidir. Sememangnya setiap tindakan Nabi Khidir a.s. itu amat aneh dan memeranjatkan. Namun, ada rahsia dan sebab yang amat wajar di sebaliknya. Misalnya, tindakan Nabi Khidir membocorkan perahu yang ditumpangi oleh mereka berdua. Kemudian, Nabi Khidir membunuh seorang kanak-kanak yang sedang bermain dengan rakan-rakannya. Dan yang terakhir, Nabi Khidir a.s. membetulkan dinding rumah yang hampir roboh dengan menggunakan karamahnya iaitu dengan hanya menyapu dinding tersebut lalu ia tegak kembali. Tindakan ini mengundang tanda tanya dalam fikiran Nabi Musa a.s. kerana penduduk kampung tersebut tidak mahu memberikan makanan dan minuman kepada mereka berdua. Dengan kata-kata lain, penduduk di situ tidak mahu menerima mereka sebagai tetamu.

Nabi Musa a.s. diberikan peluang sebanyak dua kali dan kedua-duanya Nabi Musa terlupa janjinya untuk tidak bertanya dan akhirnya baginda merayu supaya Nabi Khidir memberikan peluang terakahir dan berkata, sekiranya baginda masih lagi bertanya selepas itu, maka Nabi Khidir bolehlah menghalang baginda daripada terus mengikutnya kerana Nabi Khidir telah berkali-kali memaafkan baginda. Akhirnya, Nabi Khidir pun menjelaskan dengan terperinci setiap perbuatannya iaitu yang pertama, baginda membocorkan perahu yang mereka tumpangi kerana perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan raja negeri itu suka merampas perahu milik rakyatnya. Manakala kanak-kanak yang dibunuh itu pula ialah anak kepada satu pasangan yang beriman dan kanak-kanak itu dibimbangi akan mendorong ibu bapanya menjadi sesat dan kufur. Kematiannya digantikan Allah dengan anak yang salih dan lebih mengasihi kedua-dua ibu bapanya sehingga tujuh keturunan.

Manakala dinding rumah yang hampir roboh itu pula milik dua orang kanak-kanak yatim di kota tersebut dan di bawahnya tersimpan harta benda yang ditanam untuk mereka berdua. Bapa mereka telah meninggal dunia dan merupakan seorang yang salih. Diriwayatkan tempat ini terletak di negeri Antakiyah dan penduduknya menyembah berhala. Sekiranya tembok tersebut runtuh, maka harta yang tertanam di bawahnya pasti akan ditemui oleh orang lain sedangkan kedua-dua kanak-kanak tersebut masih belum dewasa untuk menguruskan harta tersebut dengan baik. Turut diriwayatkan bahawa harta peninggalan itu termasuklah alwah yang diperbuat daripada emas yang antaranya tercatat perkataan, "Bismillahirrahmanirrahim" dan "La ilaha illallah Muhammad Rasulullah".

Sedarlah Nabi Musa a.s. tentang hikmah setiap perbuatan atau kejadian yang berlaku. Mengertilah juga baginda kini. Nabi Musa a.s. amat bersyukur kerana telah dipertemukan oleh Allah dengan seorang hamba Allah yang salih yang dapat mengajarkan kepadanya ilmu yang tidak dapat dituntut atau dipelajari iaitu ilmu ladunni. Ilmu ini diterima daripada Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Nabi Khidir yang bertindak sebagai seorang guru banyak memberikan nasihat dan menyampaikan ilmu seperti yang dipinta oleh Nabi Musa a.s. dan Nabi Musa menerima nasihat tersebut dengan penuh gembira.

Antaranya ialah semasa mereka berdua berada di dalam perahu yang ditumpangi, datanglah seekor burung lalu hinggap di hujung perahu itu. Burung itu meneguk air dengan paruhnya lalu Nabi Khidir berkata, "Tidaklah ilmuku dan ilmumu berbanding ilmu Allah akan berkurangan seperti air laut ini yang tidak berkurangan kerana diteguk sedikit airnya oleh burung ini." Dengan kata-kata lain,
"Sesungguhnya ilmuku dan ilmu yang kamu miliki tidak sedikit pun mengurangkan ilmu Allah, sebagaimana air yang diteguk oleh burung ini tidak sedikit pun mengurangkan air yang ada di situ."

Sebelum berpisah, Nabi Khdir berpesan kepada Nabi Musa a.s., "Jadilah kamu seorang yang tersenyum dan bukannya orang yang tertawa. Teruskanlah berdakwah dan janganlah berjalan tanpa tujuan. Janganlah pula apabila kamu melakukan kesilapan, berputus asa dengan kesilapan yang dilakukan itu. Menangislah disebabkan kesilapan yang kamu lakukan, wahai Ibn `Imran."

Meneliti kisah ini kita dapat membuat satu kesimpulan iaitu Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. secara tidak langsung menggariskan beberapa adab penting dalam mencari ilmu, khususnya dalam berguru. Pertama, ilmu merupakan kurniaan Allah s.w.t. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh mendakwa bahawa ia lebih berilmu berbanding orang lain. Ini kerana, ada juga ilmu yang merupakan anugerah daripada Allah tanpa mempelajarinya (ilmu ladunni ilmu yang dikhususkan untuk hamba-hamba Allah yang salih dan terpilih sahaja).

Kedua, perlu bersabar dan tidak terburu-buru serta mengutamakan kebijaksanaan pada setiap ketika. Ketiga, seseorang pelajar perlu memelihara adab dengan gurunya. Antara adabnya ialah seseorang pelajar mestilah bersedia untuk mendengar penjelasan daripada guru dari awal sehingga akhir sebelum bertindak dengan mengabaikan perintah guru.

Selain memuliakan guru, kita juga bertanggungjawab untuk menunaikan hak mereka. Ini menunjukkan bahawa Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa kepada guru. Antara hak guru yang perlu ditunaikan ialah :

1. Merendahkan diri terhadap guru.

Sebagai murid, kita haruslah merendahkan diri sebagai tanda mengiktiraf kewibawaan dan keilmuan yang ada pada guru. Segala nasihat dan bimbingan mereka hendaklah dituruti. Dalam hubungan ini, Imam Ahmad ibn Hanbal r.h. pernah berkata kepada Khalaf al-Ahmar, "Aku tidak akan duduk kecuali di sampingmu. Beginilah kita disuruh supaya merendahkan diri kepada guru kita."

Selain itu, al-Tabarani meriwayatkan dalam kitabnya, al-Ausat daripada Abu Hurairah r.a., katanya, "Rasulullah s.a.w. bersabda :

Terjemahan :

"Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu."

Manakala Ahmad, al-Tabarani dan al-Hakim pula telah meriwayatkan daripada `Ubadah ibn Samit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bukanlah daripada umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua dan mengasihi kanak-kanak serta mengakui hak orang yang berilmu di kalangan kita."

2. Memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka adalah lebih sempurna. Ini membolehkan kita mencontohi tingkah laku dan akhlak mereka dengan lebih berkesan. Imam Syafi`e rahimahullah berkata, "Aku membuka halaman kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana bimbang beliau mendengar bunyi kertas tersebut." Manakala al-Rabi` pula menceritakan, "Aku tidak berani meneguk air apabila Imam Syafi`e berada di hadapanku kerana menghormatinya."

3. Memanggil guru dengan gelaran yang mulia sebagai tanda menghormati mereka. Contohnya ialah 'al-Fadil Ustaz', 'tuan guru', 'mu`allim' dan sebagainya. Kita sebaliknya pula dilarang daripada memanggil atau menyebut nama guru itu sahaja tanpa gelaran penghormatan terhadap mereka.

4. Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita. Syu`bah pernah berkata, "Apabila aku mempelajari sesuatu (ilmu) daripada seseorang maka aku akan menjadi hamba kepadanya selagi ia hidup."

5. Mendoakan untuk guru sepanjang hayat mereka. Selain itu, kita juga hendaklah mengambil berat tentang keluarga dan sahabat handai selepas kematian mereka. Keraplah menziarahi kubur dan memohon keampunan serta menghadiahkan pahala ke atas roh mereka, setiap kali berpeluang untuk berbuat demikian.

Doa sememangnya merupakan cara terbaik untuk menyatakan penghargaan atas usaha guru kita menyampaikan ilmu yang sangat bermanfaat untuk kita, bukan sahaja di dunia yang fana ini tetapi juga di akhirat kelak. Justeru itu, doakanlah kesejahteraan dan keberkatan hidup mereka. Sesungguhnya jasa mereka mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras mana sekali pun kita berusaha. Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, doa sahajalah yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas diri mereka. Dengan berdoa juga, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita itu, khususnya sebagai sesama Mukmin. Sebaliknya, jika guru kita itu telah meninggal dunia, doa daripada kita sudah pasti sangat diharapkannya. Mudah-mudahan dengan doa tersebut, roh guru kita itu akan dicucuri rahmat yang melimpah ruah oleh Allah s.w.t.

6. Bersabar dengan kerenah dan sikap guru. Dalam proses pembelajaran iaitu pada waktu-waktu yang tertentu, guru akan memarahi kita. Kadangkala bersebab dan kadangkala mungkin tidak. Sebagai manusia, guru juga mempunyai emosi yang adakalanya tidak dapat dikawal. Sebagai murid pula, kita hendaklah bersabar dan jangan sesekali membalas perbuatan guru kita itu. Mohonlah keampunan kepada Allah untuk guru kita itu. Sebab atau alasan kemarahan guru itu hendaklah dianggap berpunca daripada kita. Pendirian sebegini akan mengekalkan kasih sayang guru dan dapat menjaga hati mereka.

Sebahagian ahli salaf berkata, "Sesiapa yang tidak sanggup bersabar atas pelajaran, ia akan kekal sepanjang usianya jahil dan bodoh. Dan sesiapa yang bersabar pula, urusannya akan berakhir dengan kemuliaan di dunia dan akhirat."

7. Berkelakuan penuh sopan semasa mengikuti pembelajaran. Hayatilah ilmu yang disampaikan dengan tenang dan penuh konsentrasi. Tunjukkanlah minat yang mendalam terhadap topik yang sedang dibincangkan oleh guru. Janganlah sesekali kita mengganggu ketenangan guru dan melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu pembelajaran. Umpamanya, mengganggu rakan-rakan yang lain, ketawa tanpa sebab, ataupun bersebab tetapi dengan suara yang tinggi, bercakap-cakap dengan rakan dan sebagainya.

8. Meminta izin guru sebelum memasuki kelas, rumah atau tempat yang khusus untuk guru seperti bilik guru. Ketuklah pintu perlahan-lahan iaitu dengan menggunakan kuku supaya tidak mengganggu guru. Sekiranya guru tidak dapat mendengar ketukan tersebut, barulah mengulangi ketukan tersebut dengan agak kuat lalu seterusnya menggunakan loceng dan sebagainya.

Semasa menemui guru, kita juga diingatkan supaya berpakaian bersih dan kemas terutama jika kita menghadiri majlis pembelajarannya kerana ia merupakan majlis zikir. Fikiran hendaklah dikosongkan daripada segala perkara supaya kita bersedia untuk mendengar dan memahami apa yang dikatakan oleh guru. Sekiranya guru masih belum sampai di tempatnya, kita hendaklah menunggu dengan sabar. Jika guru sedang tidur, kita hendaklah menanti kedatangannya, bukan dengan mengejutkannya.

Diriwayatkan bahawa Ibn `Abbas r.a. yang berguru dengan Zaid bin Thabit menunggu di pintu rumah Zaid sehingga beliau bangun dari tidur. Ibn `Abbas pun ditanya, "Adakah kamu mahu aku kejutkan Zaid?" Jawabnya, "Jangan."

9. Mendengar isi pengajaran dengan tekun walaupun topik perbincangan telah pun diketahui. Sekiranya guru menyebut atau membincangkan sesuatu topik yang telah pun dinyatakan sebelumnya atau telah pun kita ketahui, kita hendaklah berusaha mendengarnya dengan penuh perhatian, seolah-olah kita belum pernah mendengarnya lagi. `Ata' berkata, "Aku pernah mendengar seseorang menceritakan sesuatu sedangkan aku lebih mengetahui tentang perkara itu. Namun, aku tetap mendengarnya dan berpura-pura tidak tahu langsung tentang perkara tersebut."

10. Tidak mengulangi pertanyaan bagi sesuatu masalah yang telah pun diketahui jawapannya. Perbuatan ini dilarang kerana ia akan menimbulkan rasa tidak senang di hati guru selain menyebabkan masa guru terbuang begitu sahaja. Al-Zuhri pernah berkata, "Mengulangi perbincangan sesuatu masalah adalah lebih berat daripada memindahkan sebuah tunggul."

Kesimpulan

Muliakanlah guru-guru kita kerana sesungguhnya Allah s.w.t. menegaskan, "Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah 58:11)

Dalam kesempatan ini, rasanya masih belum terlewat untuk diucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua guru dan pendidik walau di mana jua mereka berada. Sesungguhnya jasa kalian tak terungkap oleh perkataan, tak terjumlah oleh perkiraan. Mudah-mudahan jasa kalian mendidik ummah diberkati dan dikurniakan setinggi-tinggi ganjaran oleh Allah s.w.t.

World Clock