assalamualaikum

Never Forget

Friday, November 23, 2012

Sirah Junjungan


Bismillahirramanirrahim


Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah Nabi yang terakhir dan tidak ada Nabi selepasnya. Ini adalah kata sebulat suara umat Islam (ijma’). Di dalam agama pula dikenal dengan suatu perkara yang mesti dipercayai (‘Aqidah). Sepotong Hadith Nabi yang bermaksud:

 

“Aku dan Para Anbiya’ sebelumku ibarat satu bangunan yang dibina oleh seorang laki-laki. Lalu ia membinanya dengan baik dan dipercantikkannya kecuali pada tempat sekeping batu-bata pada suatu sudut. Maka orang ramai datang mengelilinginya dan kagum melihat dan berkata: Mengapa tidak diletakkan seketul batu-bata di tempat yang kosong itu? Maka akulah batu-bata itu dan akulah penyudah segala Nabi.”

 

Pertautan dan hubungkait da’wah Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan da’wah para Anbiya’ terdahulu adalah bertujuan memperkuat dan memperkemas atau sebagai kesimpulan dan penutupan, sepertimana yang dapat difahamkan dan Hadith yang tersebut di atas.

 

Ini tegas sekali bila melihat di mana da’wah para Anbiya’ seluruhnya bersendikan dua asas yang penting:
 
1. ‘Aqidah kepercayaan

 2. Perundangan dan akhlaq
 
Dan segi ‘aqidah kepercayaan langsung tidak berubah sejak Nabi Adam ‘Alaihi Salam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Nabi yang terakhir, iaitu kepercayaan kepada Allah Yang Esa. Mensucikan Allah dan sifat-sifat kekurangan dan percayakan hari akhirat, hisab amalan manusia, syurga dan neraka. Tiap-tiap Nabi menyeru kaumnya kepada kepercayaan tersebut dan tiap-tiap Nabi juga menyokong dan menegaskan apa yang dibawa oleh Nabi yang terdahulu darinya. Rangkaian pengutusan para Anbiya’ sekeliannya menunjukkan kepada kita yang nabi-nabi semuanya diutus supaya menyeru manusia ke arah keimanan dengan Allah ‘Azza wajalla Yang Esa, seperti yang dinyatakan di dalam kitabNya yang bermaksud:

۞ شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

“Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan kepadamu (wahai Muhammad), dan Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.” (As-Syuura: 13)

Malah langsung tidak tergambar kepada kita yang seruan para Anbiya’ itu akan berlainan di antara satu dengan yang lain mengenai soal ‘aqidah, sebab soal ‘aqidah adalah soal berita dan perkhabaran dan tidak akan berlainan perkhabaran dan berita dan seseorang itu sekiranya perkara itu benar. Tidak diterima oleh ‘aqal manusia bahawa Allah telah mengutus seorang Nabi mengatakan Allah itu tiga - Maha Suci Allah - kemudian diutuskan seorang Nabi lain mengatakan bahawa Allah itu Esa dan kedua-dua perkhabaran itu kemudian dianggap benar belaka. Ini tidak mungkin berlaku.

Ini bersangkut dengan ‘aqidah, bersangkut dengan tasyri’ (perundangan). Perundangan (ahkam) ini pula bertujuan mengatur penghidupan sesebuah masyarakat. Peribadi manusia adalah berbeda kualiti dan kuantitinya sesuai dengan pengutusan seseorang nabi itu, sebab tasyri’ itu bukanlah untuk menyampaikan perkhabaran dan berita semata-mata tetapi bertujuan untuk mengadakan dan mewujudkan masyarakat yang sempurna. Sudah pasti di mana masa dan keadaan sesuatu kaum itu memberi kesan dan pengaruh-pengaruh terhadap perkembangan perundangan, kerana timbulnya undang-undang itu adalah demi maslahat dan kepentingan serta faedah manusia untuk dunia dan akhirat.

Pengutusan nabi-nabi yang terdahulu adalah semata-mata untuk kaum itu sahaja, tidak merupakan pengutusan yang menyeluruh. Justeru implikasinya terhadap perundangan tasyri’ adalah nyata sekali. Umpamanya pengutusan Musa ‘Alaihi Sallam kepada Bani Israel adalah untuk bangsa dan zaman itu sahaja. Dikatakan undang-undang yang diturunkan untuk Bani Israel itu sesuai untuknya kerana undang-undang itu nyata keras dan memang sesuai dengan bangsa yang bersifat keras kepala.

Apa yang dibawa oleh Nabi ‘Isa pula adalah sederhana sedikit daripada apa yang dibawa oleh Nabi Musa tadi. Perkara ini nyata sekali kalau diperhatikan apa yang ditegaskan oleh Allah dalam kitab Al-Quran:

وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ ۚ وَجِئْتُكُم بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ

“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Al-Taurah yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan kepada kamu.” (Aali ‘Imran: 50)

Apa yang dibawa oleh Nabi ‘Isa adalah membenarkan dan menegaskan apa yang dibawa oleh Al-Taurah mengenai soal ‘aqidah dan kepercayaan, dan yang bersangkut dengan hukum tasyri’ ada sedikit perubahan iaitu kelonggaran dari yang dahulu.

Kesimpulan yang dapat kita ambil dan sini ialah, setiap pengutusan itu mengandungi ‘aqidah dan tasyri’. Kepercayaan dan ‘aqidah yang dibawa oleh seseorang Nabi itu fungsinya menguat dan menyokong ‘aqidah Anbiya’ yang terdahulu. Sedangkan syari’at pula fungsinya membatal dan memansuhkan syari’at para Anbiya’ dahulu dan kadangkalanya menyokong yang lama.

Justeru tidak ada agama dan ‘aqidah Ilahi berbilang-bilang dan beraneka corak, sebaliknya terdapat pelbagai syari’at Ilahi yang kemudian memansuhkan yang dahulu dan yang baharu membatalkan yang lama, hinggalah sampai kepada syari’at yang terakhir disudahi dengan Nabi yang terakhir.

‘Aqidah dan agama yang benar itu satu. Setiap Nabi dan Rasul yang diutuskan mulai dari Adam ‘Alaihi salam hingga ke Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, semuanya menyeru manusia kepada agama yang satu iaitu agama Islam. Lantaran Islam maka diutuskan Ibrahim, Isma’il dan Ya’qub ‘Alaihim salam seperti firman Allah:

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ [٢:١٣٠]

Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).


إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ [٢:١٣١]
 

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".


وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ [٢:١٣٢]

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".


Dengan ‘aqidah inilah juga Allah mengutus Nabi Musa kepada keturunan Israel di mana Allah telah menceritakan tentang ahli sihir Fir’aun yang telah beriman dengan Nabi Musa. Firman Allah:

قَالُوا إِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا مُنقَلِبُونَ [٧:١٢٥]

Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya).


وَمَا تَنقِمُ مِنَّا إِلَّا أَنْ آمَنَّا بِآيَاتِ رَبِّنَا لَمَّا جَاءَتْنَا ۚ رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ [٧:١٢٦]

"Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)".


Dengan ‘aqidah ini jugalah Tuhan mengutus ‘Isa ‘Alaihi salam, di mana Tuhan telah menceritakan tentang kaumnya yang telah beriman dengan ajaran yang dibawanya. Firman Tuhan:
۞ فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ ۖ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ [٣:٥٢]

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).


Mungkin ditimbulkan pertanyaan. Kenapakah mereka yang mengaku sebagai pengikut-pengikut Nabi Musa mempunyai ‘aqidah tersendiri, tidak kena-mengena dengan ‘aqidah keesaan yang dibawa oleh para Anbiya’? Dan mengapakah mereka yang mengaku sebagai pengikut Nabi ‘Isa menganuti suatu ‘aqidah yang tersendiri? Sebagai jawapannya kita sarankan dalil al-Qur’an:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ [٣:١٩]

Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.


Dan tegas Tuhan lagi dalam surah Al-Syura:

۞ شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ [٤٢:١٣]

Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).


Dan lagi:

وَمَا تَفَرَّقُوا إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى لَّقُضِيَ بَيْنَهُمْ ۚ وَإِنَّ الَّذِينَ أُورِثُوا الْكِتَابَ مِن بَعْدِهِمْ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ [٤٢:١٤]  

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.


Para Anbiya’ diutuskan bersama-sama mereka yang Islam, agama yang diakui oleh Allah. Ahli Kitab mengetahui bahawa agama itu satu dan diutuskan Nabi-nabi untuk memberi sokongan kepada Nabi-nabi yang terdahulu.

Allahu a’lam bisshawab.

- Fiqh as-Sirah, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi
~copy paste~

No comments:

Post a Comment

World Clock